Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Olimpik, pemenang emas akan menerima RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000, sementara perak pula RM600,000 dan pencen bulanan RM3,000, manakala gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.

Gandingan itu meraih perak, untuk pingat sulung negara di Rio, menerusi acara 10 meter platform seirama wanita, selepas mengumpulkan 344.34 mata, hari ini.

Dalam acara itu, emas dimenangi pasangan China, Chen Ruolin-Liu Hui Xia, yang mengumpul 354 mata, manakala tempat ketiga pula diraih gandingan Kanada, Meaghan Benfeito-Roseline Filion, yang mengutip 336.18 mata.

Pandelela sebelum ini menjadi atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat di Sukan Olimpik apabila mendapat gangsa dalam acara 10m platform individu di edisi London, empat tahun lepas.

Menurut laporan Bernama, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata Pandelela dan Jun Hoong akan berkongsi sama rata hadiah wang tunai RM600,000 itu manakala pencen bulanan itu akan bermula serta-merta.

Ditanya sama ada pemenang dua pingat Olimpik, Pandelela akan menerima dua pencen berbeza, Ahmad Shapawi menjelaskan atlet itu akan menerima satu sahaja iaitu jumlah tertinggi antara pingat perak dan gangsa yang diperolehnya.

Selain Pandelela, Datuk Lee Chong Wei juga adalah pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik selepas menang secara berturut-turut pada edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London.